Kena ‘Friendzone’ Dengan Fattah ? Ini Respon WIN dari Fazura Buat Netizen Terkedu..

MELIHAT tangga populariti yang didaki aktres popular ini, pastinya laluan yang dilalui bukan mudah. Pelbagai cabaran dan ujian yang ditempuhi, dia masih teguh berdiri.

 

Berbicara dengan pelakon cantik, Fazura pastinya setiap mata yang memandang tidak mengerlip kerana terpegun dengan sikap peramahnya. Jauh tersasar daripada dakwaan yang mengatakan pelakon ini seorang yang sombong.

Tatkala soalan cepumas ditanya, dia tenang menjawab. Tiada langsung nada jelik atau jelingan daripada pelakon drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella ini. Pengalaman lebih sedekad merenangi lautan seni nyata banyak mengajarnya.

Diaju pertanyaan soal status hubungannya dengan pelakon tampan, Fattah Amin, aktres itu hanya tersenyum manja. Maaf, dia tidak mahu memberi sebarang komen soal peribadi.

Kala kerjayanya semakin berkembang, dia tidak mahu berbicara soal peribadi. Dia mahu memberi fokus kepada perjalanan seni yang semakin hari dilimpahi dengan pelbagai kejayaan.

“Maaf, saya tidak mempunyai sebarang komen kalau soal peribadi. Kalau boleh, saya hanya mahu berbicara soal kerjaya. Tidak ada soalan peribadi ya,” katanya.

Ya, sukar untuk kita mendapatkan kenyataan daripada pelakon ini. Dakwaan demi dakwaan yang mengatakan hubungannya dengan Fattah semakin serius hanya tinggal spekulasi yang tidak berjawab.

Biarpun Fattah mudah untuk melunturkan kata berbicara soal hubungannya dengan Fazura, namun wanita cantik ini memilih untuk berdiam. Dia tahu menjaga nilai diri dan maruahnya sebagai seorang wanita.

Memutar perbualan ke arah kerjaya, dia sempat berkongsi keterujaannya bertemu penyanyi tersohor dunia, Selena Gomez semasa menghadiri Minggu Fesyen New York di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Lebih mengharumkan, Fazura merupakan wakil dari Malaysia yang diundang khas oleh jenama fesyen terkemuka, Coach untuk menghadiri minggu fesyen di negara Uncle Sam itu.

“Satu pertemuan yang singkat tetapi memberi makna yang besar. Kami tidak sempat berbual panjang kerana Selena ada sesi fotografi selepas itu. Tetapi dia sempat memuji pakaian saya.

“Saya juga sempat menjalani sesi penggambaran muzik video baharu di sana. Alhamdulillah, satu demi satu rezeki dilimpahi Tuhan. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya saya,” katanya yang popular dengan lagu Sayangi Dirimu.

Tidak hanya mengunci bicara soal hubungannya dengan Fattah, Fazura juga memilih untuk kekal berahsia siapakah penyanyi antarabangsa yang bakal berduet dengannya dalam single terkininya kelak.

“Nanti bila tiba masanya, saya dan pihak Universal akan umumkan siapakah penyanyi tersebut. Tak boleh beritahu sekarang, nanti bukan lagi satu kejutan,” katanya yang kini sedang giat mempromosi filem Rafathar.

Hari demi hari, anak kelahiran Pahang ini membuktikan kewibawaannya sebagai pelakon yang cukup berbakat. Tidak hairan jika sayap seninya kini terbang merentasi langit negara seberang, Indonesia.

Satu demi satu naskhah hebat menampilkan Fazura sebagai pelakon. Terkini, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Ayat-ayat Cinta 2 yang bakal ditayangkan tahun depan.

“Saya sendiri tidak menyangka ada tempat di negara seberang. Kita semua sedia maklum sukar untuk anak seni tempatan menembusi pasaran sana tetapi alhamdulillah langkah saya dipermudah.

“Saya kerja keras ini untuk membuktikan kemampuan dan minat saya terhadap dunia seni yang tiada berbelah bahagi. Saya percaya jika kita terus berusaha, kita akan mampu menggapai impian.

“Jalan yang ditempuh saya bukan mudah, itu sesuatu yang pasti. Cuma perlahan-lahan kita mengorak langkah dan percayalah, semua usaha, keringat dan semangat kita berbaloi,” kata wanita berusia 34 tahun ini.

Ditanya soal harapannya terhadap naskhah baharu, Rafathar lakonannya, Fazura teruja dan mengharapkan agar peminat menyokong filem terbitan Indonesia itu.

Naskhah tersebut menggandingkan dia dengan pasangan sensasi negara seberang, Raffi Ahmad dan Nagita Salvina.

Memegang watak sebagai Mila, ibu angkat kepada bayi adiwira, Rafathar, Fazura yakin filem ini mampu mencuit hati penonton dengan keletah dan lawak jenaka yang ditampilkan.

“Ini filem Indonesia keempat saya. Alhamdulillah, rezeki saya dipermudah dan diharapkan agar peminat terus menyokong kerjaya saya. Filem ini sangat istimewa khususnya jalan cerita.

“Mula-mula saya risau juga takut orang kita tak faham lawak yang disampaikan dalam bahasa Melayu Indonesia. Tetapi sari kata dalam bahasa Melayu kita disediakan, jadi mudah untuk penonton faham,” katanya.

Sumber :www.utusan.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *